Description
SURAH AL-NAS
Allah Taala bersifat tiga perkara. Rabb (pendidik), Malik (raja) & Ilah (tuhan). Ketiga-tiga itu kita minta digunakan sepenuhnya untuk melindungi kita daripada was-was & ragu-ragu. Kalau ragu juga, maka kamu tidak mukmin, tidak muttaqin (orang bertaqwa) dan tidak ikhlas. Ketiga-tiga ini syarat bagi hendak masuk syurga akhirat kelak. Allah minta kepada manusia supaya ikhlas beribadat dengan Dia. Kita kena merendah diri, kena tunjuk hina kepada Allah. Apa yang Dia suruh, kena buat. Manusia ini hamba Allah Ta’ala. Bukan rakyat Tuhan, bukan kawan Tuhan, tetapi hamba Tuhan. Kaedah hamba, kuli, buruh, mesti patuh pada kehendak Allah. Benda-benda dan perumpamaan begini kena benar-benar ingat hadirin semua.
SURAH AL-FALAQ
Islam ajar kepada kita, bahawa kamu wahai manusia, takdir dan nasib kamu, Allah Ta’ala buat di atas dunia ini mempunyai banyak musuh. Ada musuh yang nampak ditengok, kita panggil gajah, harimau, ular, lipan, kala jengking. Ini musuh yang dapat ditengok. Satu lagi adalah musuh yang tidak nampak ditengok & ketua dia adalah syaitan. Syaitan, iblis dan hantu. Ini semua musuh kepada manusia yang Tuhan buat. Akhirat kelak ada balasan baiknya untuk mana-mana orang melawan musuh-musuh yang tidak nampak ditengok, lawan syaitan yang duduk di luar daripada diri kita, lawan nafsu yang duduk dalam diri kita. Kita lawan sungguh-sungguh serupa yang Nabi Muhammad ajar, kita boleh pahala. Pahala ini tidak laku di dunia, tetapi laku di akhirat.
SURAH AL-IKHLAS
Ikhlas asal maknanya ialah tapis. Apabila kita tapis air, tapis apa sahaja sekali pun, tujuannya hendak ambil yang jernih. Hendak buang segala sampah-sarap, hendak buang segala karat dan kotor, biar benda itu jernih. Al-Quran ini ada satu surah, namanya surah al-Ikhlas. Bagaimana dibentuk peribadi manusia supaya benar-benar kerja buat manusia ini ikhlas kerana Allah. Biar benda ini, barang bertapis, bersih kerana Allah Ta’ala. Seperti kita turun dari rumah pagi ini, mari mengaji. Bukan kerana benda lain tetapi kerana betul-betul nak rapatkan diri dengan Allah Ta’ala melalui pengajian Kalamullah, kitab Dia sendiri. Bagaimana kita hendak masuk rapat dengan Tuhan, kalau kita sendiri tidak tahu pun benda apa yang Tuhan hendak dan benda apa yang Tuhan setuju.